Majlis Penandatanganan Jalinan Kerjasama Antara Yayasan Warisan Anak Selangor Dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Berkenaan Program Anak Istimewa Selangor (ANIS).

ANIS sekali lagi mengorak langkah dengan mengembangkan rangkaian jaringan usahasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan misi memberdaya anak-anak istimewa Selangor. Pada hari ini, telah dicatatkan suatu pencapaian baru di mana kesudian Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menerima pelawaan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) untuk bekerjasama dalam pelbagai program yang melibatkan anak istimewa di Selangor khususnya.

Salah satu program yang terdapat di dalam jalinan Kerjasama ini ialah Seminar Cikgu ANIS, sebuah program berbentuk pembangunan guru di mana para guru akan didedahkan dengan maklumat serta pendekatan baharu, sesuai dengan cabaran dan tahap murid yang dihadapi di sekolah. Umum mengetahui cabaran bagi mendidik serta meningkatkan tahap anak istimewa ini adalah suatu tugas berat yang ditanggung oleh para guru. Maka Kerajaan Negeri melalui YAWAS mengambil inisiatif untuk membantu para guru di lapangan dengan memperkemas pengetahuan serta kemahiran sedia ada.

Selain Program Cikgu ANIS, pihak YAWAS akan bekerjasama dengan JPN Selangor dalam menjayakan usaha kerajaan Negeri Selangor dalam mewujudkan sebuah pusat kemahiraniaitu Independent Living Support Centre (ILSC) atau Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari untuk OKU Masalah Pembelajaran berumur 18 tahun ke atas.

Majlis ini disekalikan dengan Seminar Cikgu ANIS bagi Guru-Guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Menengah yang diadakan di KIP Hotel Selayang yang dihadiri oleh 97 orang guru seluruh negeri. Majlis telah disempurnakan dengan perasmian oleh YB Dr Siti Mariah Bt Mahmud, EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dan turut dihadiri oleh Pn Gan Pei Nei, Pengurus Besar YAWAS serta En Halil Bin Badli & Jaafar, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Info lanjut berkenaan program ini boleh berhubung terus dengan En Danial Al-Rashid Bin
Haron, Ketua Jabatan ANIS di talian 0183841700 atau menerusi emel danial@yawas.my