EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud memberi ucapan di Majlis Pelancaran Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 30 November 2022.

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah melaksanakan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang merupakan inisiatif kesihatan mental yang holistik meliputi empat (4) komponen utama iaitu promosi kesedaran, pendidikan, saringan dan intervensi. Selangor merupakan negeri pertama memperkenalkan fungsi kesihatan mental digital yang diintegrasikan dalam aplikasi Selangkah.

Sejak dilancarkan pada tahun 2021, seramai lebih 60,000 rakyat negeri Selangor telah menjalani saringan awal kesihatan mental. Selain itu, khidmat talian sokongan psikososial SEHAT telah memberikan manfaat kepada 312 pemanggil yang terdiri daripada rakyat dari negeri Selangor dan juga luar negeri.

Umum mengetahui bahawa rawatan psikiatri bagi gangguan kesihatan mental memakan kos yang tinggi. Oleh itu bagi meringankan bebanan rakyat, Kerajaan Negeri pada tahun ini telah menambah nilai program SEHAT ini dengan menawarkan Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri bagi rakyat negeri Selangor yang memerlukan intervensi lanjut daripada pakar psikiatri.

Melalui kerjasama pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pakarpakar psikiatri daripada Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan klinik SELCARE, Kerajaan Negeri menawarkan sebanyak 700 slot rawatan disubsidi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM222,600. Kerajaan Negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi bersama pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan rawatan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama.

Rakyat negeri Selangor yang ingin mendapatkan insentif subsidi kesihatan mental perlu melengkapkan saringan awal di aplikasi SELangkah. Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi Selangkah bagi menjalani saringan kedua. Pemohon yang layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani intervensi lanjut.

Kerajaan Negeri berharap agar insentif subsidi rawatan psikiatri ini dapat melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental, mengurangkan beban klinik psikiatri di hospital Kerajaan serta memberikan akses alternatif yang lebih cepat kepada rakyat negeri Selangor yang memerlukan intervensi terutama bagi golongan B40.

Anda perlukan rawatan pakar psikiatri?