Amirudin (tengah) menyerahkan sijil pelantikan pegawai GFP kepada seorang penerima
di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa
Tetap Pembangunan Wanita & Keluarga dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) akan
meneruskan Projek Pengarusperdanaan Gender melalui pelantikan Pegawai Titik
Tumpuan Gender (GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (GFT) bagi Tahun 2021/2022.
Selari dengan matlamat pertama Dasar Wanita Selangor iaitu bagi menggalakkan
kerangka pembangunan yang sensitif gender, Kerajaan Negeri Selangor komited
melaksanakan segala usaha ke arah mencapai keseimbangan gender dalam
pembentukan dasar dan pembangunan negeri.
Justeru, Majlis Penyerahan Watikah Lantikan kepada GFP/T yang disempurnakan oleh
YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada hari ini merupakan
tanda aras penting bagi pelaksanaan projek perintis Pengarusperdanaan Gender yang
dilaksanakan selama tiga tahun bermula tahun 2020 melibatkan peruntukan sebanyak
1.86 juta.
Hasil usahasama yang kolektif dan komitmen kerja berpasukan di antara jabatan, agensi
perintis dan juga WBS, para pegawai GFP/T yang telah dilantik berjaya mencapai
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun pertama iaitu merangka Pelan Tindakan
Gender. Projek Pengarusperdanaan Gender kini memasuki fasa yang penting di mana
para pegawai GFP/T akan menyelia dan memperhalusi pengimplementasian Pelan
Tindakan Gender yang telah dirangka sebelum ini.
YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam ucapan beliau menyatakan,
“Pengarusperdanaan Gender turut selaras dengan Aspirasi ‘Smart Selangor’ kita
menjelang Tahun 2025 dari segi Inovasi, Perhubungan, Perpaduan Sosial dan
Kelestarian. Ia dapat meningkatkan aspirasi kita terutama dari segi pengkalan data,
peruntukan belanjawan yang tersasar serta tadbir urus yang baik (smart and good
governance)
Bagi pelaksanaan tahun kedua, Projek Pengarusperdanaan Gender bakal diteruskan
oleh Exco-Exco perintis termasuklah YAB Dato’ Amirudin Shari, YB Tuan Ng Sze Han
serta YB Tuan Ganabatirau bersama 16 pegawai GFP/T yang dilantik dari jabatan dan
agensi berkaitan.