SUBANG JAYA – Program Gadis Inspirasi Negeri Selangor (Gadis) bertujuan mengajak golongan wanita untuk memapar luas mesej bermanfaat kepada masyarakat diluar sana menerusi media sosial aplikasi TikTok.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan peserta program anjuran Wanita Budaya Selangor (WBS) perlu menyiapkan tugasan dengan menyentuh pelbagai isu semasa.

“Topik yang kita beri agak sukar antaranya isu perkahwinan bawah umur, poligami, keganasan rumah tangga dan kemiskinan haid. Kita mahu lahirkan masyarakat maju yang ada maklumat.” Katanya.

Beliau juga berkata peserta khususnya pemenang yang memiliki pengikut dan pengaruh tersendiri juga diharap membantu menyebar luas pelbagai inisiatif yang disediakan pentadbiran negeri kepada wanita.

“Banyak bantuan untuk golongan berpendapatan rendah, pertengahan dan berkemampuan tetapi ini semua orang tidak nampak. Jadi, harapan kita mereka akan jadi lidah kepada program wanita.

Sesetengah maklumat tidak sampai kerana masyarakat tiada ketabahan untuk membaca, namun dengan adanya inisiatif penyampaian menerusi aplikasi Tiktok kita dapat menarik perhatian masyarakat.” kata Dr Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan di Hotel Grand Dorsett Subang. Program anjuran Wanita Berdaya Selangor itu berakhir apabila model sambilan Norzawani Zakiah Khairul Zaki dinobat sebagai juara.

Norzawani Zakiah membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil beserta trofi manakala tempat kedua dimenangi pengacara hiburan, Nur Idayu Azizi Aziz (RM3,000), pelajar jurusan undang-undang, University of London, Stella Leong Sin Yin di tempat ketiga (RM1,000).