Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri Selangor bagi melaksanakan pembendungan penularan wabak denggi pada 2022.
Perkara itu dimaklumkan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataannya pada Rabu.
“Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi memastikan usaha pembendungan penularan wabak denggi terus dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri sedang melaksanakan projek rintis bagi pengimplementasian teknologi baru dalam memantau lokaliti wabak dengan lebih efisien iaitu dengan menggunakan dron dan membangunkan aplikasi pengesanan lokaliti hotspot yang boleh diakses oleh masyarakat awam,” kata beliau.
Demam denggi berpunca daripada virus bawaan nyamuk AEDES yang telah dijangkiti dan boleh dikawal manusia dengan kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam mencegah pembiakan nyamuk dan penularan wabak denggi.
Sehingga 11 Jun 2022, Negeri Selangor mencatatkan jumlah kumulatif kes demam denggi sebanyak 13,438 kes dan mukim yang mencatatkan bilangan kes tertinggi ialah Klang (2,257), Damansara (2,038), Kajang (1,338), Sungai Buloh (1,324) dan Petaling (1,169).
“Sempena Sambutan Hari Denggi Asean 2022, saya menyeru agar setiap individu meningkatkan kesedaran tentang pencegahan denggi serta melakukan langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan rumah dan kawasan persekitaran, menghapuskan bekas air bertakung yang menyebabkan pembiakan, menggunakan repelan dan amalkan pembuangan sampah di tong sampah.
“Selain itu, Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor juga (SUKA) akan melaksanakan program-program di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran rakyat tentang kepentingan langkah pencegahan,” katanya lagi.