Kesihatan mental dan penuaan sihat bagi warga emas antara enam fokus inisiatif kesihatan awam Selangor tahun ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Selangor meletakkan kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat sebagai salah satu teras tumpuan dasar dengan RM65.6 juta diperuntukkan untuk inisiatif itu.

“Aspek lain termasuk penyakit tidak berjangkit (jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang) serta penyakit berjangkit (denggi dan tibi).

“Selain itu, barah (payudara dan pangkal rahim bagi wanita manakala barah prostat dan usus bagi lelaki) serta nutrisi kanak-kanak,” katanya di Facebook sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia.

Dr Siti Mariah berkata kesemua inisiatif ini tidak termasuk pelbagai inisiatif lain seperti bantuan kewangan kesihatan kepada orang awam dan penjawat awam.

“Ia bagi memastikan penjagaan kesihatan yang baik dapat diakses oleh semua rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Mengenai Hari Kesihatan yang disambut di seluruh dunia pada 7 April setiap tahun, katanya, ia untuk menarik perhatian dan memberi kesedaran kepada masyarakat dunia tentang isu kesihatan yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.

“Hari Kesihatan Sedunia juga memberi ruang untuk komuniti setempat mengetahui tentang program kesihatan awam yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa kesihatan,” katanya.