EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada pemenang pertandingan video tiktok sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme peringkat Selangor di KPJ Klang Specialist Hospital, Klang pada 2 April 2022.

Masyarakat perlu memainkan peranan dengan menyokong dan lebih memahami kanak-kanak istimewa khususnya golongan autisme supaya dapat mewujudkan suasana harmoni.

EXCO kesihatan awam berkata ada segelintir masyarakat menyalahkan ibu bapa dan menganggap gagal mendidik anak-anak supaya pandai membawa diri ketika berada di luar.

“Golongan autisme ini tidak diminta untuk dilahirkan dalam keadaan begitu dan sehingga kini kita masih tidak tahu apa penyebabnya.

“Dengan adanya sambutan hari autisme ini, kita berharap masyarakat lebih tahu dan memahami cabaran-cabaran dihadapi anak-anak ini serta peka kehadiran mereka, bukannya mencemuh,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesedaran Autisme peringkat negeri Selangor di KPJ Klang Specialist Hospital hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud melancarkan buku Setengah Dekad: 5 Tahun Anak Istimewa Selangor (ANiS) sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme peringkat Selangor di KPJ Klang Specialist Hospital, Klang pada 2 April 2022.

Turut berlangsung pelancaran buku Setengah Dekad: 5 Tahun Anak Istimewa Selangor (ANiS) dan lagu khas orang kelainan upaya (OKU) Selangor dihasilkan komposer dan penerbit muzik, Affan Mazlan.

Jelas Siti Mariah, buku setebal 32 muka surat itu menceritakan tentang inisiatif disediakan Kerajaan Negeri untuk kanak-kana istimewa dalam tempoh satu penggal.

“Pelbagai manfaat kita lakukan dalam membantu meringankan beban keluarga dalam menjaga anak-anak istimewa.

“Buku ini akan diletakkan di Pusat Prasekolah AnIS Seksyen 7, pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan kerajaan,” katanya.