9 Jun 2022 – Buat julung kalinya, Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (ANIS) telah mengadakan lawatan sambil belajar buat pelajar Pusat ANIS di Sunway Wildlife Park, Sunway Lagoon. Seramai 29 orang pelajar yang menyertai lawatan ini diiringi 6 ibubapa sebagai pengiring pelajar yang memerlukan perhatian khusus. Pelajar ini juga telah diiringi oleh para guru dan kakitangan Pusat ANIS serta Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).
Pihak Pusat ANIS telah memilih Sunway Wildlife Park sebagai tempat lawatan berikutan fasiliti zoo yang disediakan adalah mesra kanak-kanak berkeperluan khas. Hal ini adalah kerana persekitaran yang redup dan panel kaca yang digunakan sebagai penempatan haiwan ini menjadikan haiwan seperti singa, harimau dan bear dapat dilihat dari jarak dekat. Sunway juga menyediakan beberapa lokasi berehat yang bertujuan untuk ruang bertenang anak-anak istimewa ini.
Terdapat juga sesi dimana pelajar dapat merasai pengalaman memberi makan kepada Arnab dan kambing serta menyentuh haiwan seperti anak ular sawa yang dikeluarkan dari sangkar. Pengalaman seperti ini dapat membantu para pelajar mengenali dan mempelajari kepelbagaian haiwan secara lebih efektif.
Lawatan ini juga merupakan salah satu program advokasi bertujuan untuk mewujudkan kesedaran masyarakat awam tentang keadaan serta cara pengendalian istimewa bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Kesedaran ini penting agar stigma negatif terhadap kanak-kanak berkeperluan khas ini dapat dibuang.
Pihak pengurusan Sunway Lagoon juga telah memberikan sokongan dan Kerjasama yang amat baik dalam menjayakan lawatan ini. Pengurusan dan penyusunan sepanjang lawatan yang bersesuaian dengan kondisi dan keperluan kanak-kanak berkeperluan khas amatlah dihargai oleh pihak ANIS.
Pihak ANIS turut berharap lebih banyak Kawasan rekreasi dan tempat lawatan mesra kanakkanak berkeperluan khas akan diadakan agar ibubapa serta penjaga kanak-kanak golongan ini dapat turut serta membawa anak masing-masing dengan hati yang tenang disamping penerimaan masyarakat dipertingkatkan.