Kempen ini merupakan panggilan buat kita semua untuk sama-sama berganding bahu menentang keganasan berasaskan gender.
Perjuangan melawan keganasan khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak mesti dijalankan secara konsisten tanpa jemu kerana kebiasaannya mangsa juga akan diganasi dalam tempoh yang berterusan jika tidak ditangani lebih awal.
Usaha memberdaya mangsa dengan kesedaran tentang keperluan melindungi diri, pengetahuan tentang hak mereka, memujuk mangsa untuk berani keluar perlu dilakukan hingga kita berjaya mengeluarkan mangsa daripada keadaan yang mencengkam mereka.
Maka kita semua harus turut memberdaya diri kerana setiap dari kita mampu berperanan untuk menyelamatkan mangsa dari keganasan atas kapasiti yang ada.
Bermula dengan sikap prihatin terhadap jiran dan kawan-kawan, menggali maklumat tentang langkah dan prosedur yang boleh diambil dan berani bertindak dengan ilmu akan membantu kita dalam aktivisme menentang keganasan.
Di peringkat Kerajaan Negeri, Talian SELamat telah diwujudkan bagi menyediakan kondisi yang selesa dan selamat untuk pemandiri berbicara mengenai situasi mereka.
Jika anda, ahli keluarga, jiran atau rakan terdekat mengalami keganasan rumah tangga, segera buat panggilan ke nombor 03-64195027.