Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor menerbitkan sebuah naskhah yang menyajikan 56 resipi masakan berjudul Dapur Selangor.
EXCO Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata buku 91 muka surat itu menyajikan pelbagai jenis resipi unik daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Buku ini diterbitkan bermula apabila kami mula berbicara santai perihal resipi dan apakah identiti kulinari negeri ini sedangkan apabila kita ke Terengganu akan dihidangkan dengan nasi dagang, Kelantan nasi kerabu, Kedah laksa.
“Lalu, terfikir apakah yang boleh dihidangkan di Selangor? Sebagai buah tangan kepada semua, kita himpunkan satu DUN satu resipi merangkumi sajian tradisional, moden dan pencuci mulut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Khatam al-Quran Perdana Wanita Selangor di Dewan Jubli Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.
Dapur Selangor boleh didapati secara dalam talian menerusi bookcafe dengan harga RM35.
Menariknya, Dr Siti Mariah turut tampil dengan resipinya iaitu mee bandung manakala Datin Seri Masdiana menyajikan resipi sup kambing berempah serta beberapa lagi hidangan menarik lain.
-Selangorkini