Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) sentiasa bersedia memberdaya golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memperluas perkhidmatan lebih berkesan dan bersesuaian dengan kehendak rakyat.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia khusus untuk golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

“Program Bantuan Khas AnIS antara inisiatif terawal dalam salah satu program jabatan ini yang mendapat sambutan tinggi dan sentiasa dinanti setiap tahun oleh rakyat Selangor.

“Bagi Belanjawan 2023 AnIS mendapat peruntukan sebanyak RM4 juta dan Program Bantuan Khas AnIS mendapat peruntukan khusus sebanyak RM1 juta untuk memberdaya golongan kanak-kanak istimewa di Selangor,” katanya.

Beliau berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas ANIS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini yang menyaksikan seramai 41 penerima mendapat bantuan.

Siti Mariah berkata sebagai bukti komitmen padu Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan program dan inisiatif AnIS lebih mapan, Selangor juga akan menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor, sebuah anak syarikat khusus di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

“Diharap, pada masa akan datang, inisiatif Anak Istimewa Selangor ini akan dapat memberikan manfaat berterusan kepada golongan OKU yang memerlukan terutama golongan kurang berkemampuan,” katanya.